Malam itu setelah selesai ceramah perdana sempena Maal Hijrah dan solat Isyak Pakcik Ismail duduk minum di tempat yang dikhaskan untuk jamuan malam itu. Ikram mengambil kesempatan itu untuk duduk di sebelahnya. Pakcik Ismail tersenyum melihatkan kelibat anak muda yang selalu ditemuinya kebelakangan ini. Mereka berbual kosong hinggalah Ikram memulakan cerita dalam aspek kewangan, bertanyakan perihal rahsia untuk menjadi seorang yang kaya raya.
“Cuba jawab soalan ni, kalau kamu bekerja 24 jam sehari selama sebulan berapa sasaran yang kamu boleh dapat?” Tanyanya menguji diri Ikram di kala itu.
Ikram termenung seketika. Selama hari ini dia tahu betapa kuat di bekerja pun dia tidak pernah mendapat pendapatan melebih RM3000.00. Dia juga tahu itulah setakat keupayaan dan kemampuan yang boleh dilakukannya.
“RM3,000.00.” jawabnya perlahan.
“Sebenarnya itulah masalahnya. Pernah dengar tak ungkapan kata-kata satu itu satu doa?”
Ikram menggangguk.
“Bila kita mengatakan yang kita boleh mencapai RM3,000.00 maka ia merupakan satu doa dan kepercayaan inilah yang menyebabkan kita menghadkan keupayaan sebenar diri kita. Dalam hal ini RM3,000.00 itu merupakan penghalang untuk kita mencapai kecemerlangan yang lebih jauh lagi. Lagipun dalam Quran dan hadith tak adapun ayat yang mengatakan yang rezeki kita setakat RM3,000.00 sahaja...” Jelasnya pula.
“Tapi pakcik, saya tak tahu apa kaedahnya untuk saya sampai ke tahap itu dengan kerja yang saya buat sekarang.”
“Kaedah dan caranya itu cerita lain. Perkara pertama bermula dengan niat dalam diri, niat kena ada dulu barulah kita boleh usahakan yang lain pula.”
“Dulu masa muda pakcik pun begitu juga sama macam Ikram ni. Memula nak lepaskan RM1000.00 pun susah kemudian pakcik dapat RM3000.00 kemudian RM5,000.00 dan seterusnya tapi bila pakcik dalah dapat lepaskan pendapatan RM10,000.00 semakin lama ia menjadi semakin mudah. Tapi macam yang pakcik cakap tadi, kita kena ada niat yang betul.”
“Jadi pakcik tanya Ikram sekali lagi, kalau kamu bekerja 24 jam sehari selama sebulan berapa sasaran yang kamu boleh dapat?”
“Infiniti pakcik!”
“Ha! Itulah jawapannya, just keep your feet on the ground and keep reaching for the sky!”
“Okay, sekarang keadaannya umpama membuka pintu pagar, sekarang kita kena pilih jalannya untuk sampai ke destinasi. Jalannya banyak tapi pasti ada jalan yang akan membolehkan kita mendapat pulangan atau pendapatan yang tertinggi tapi itu Ikram kenalah cari sendiri. Cuma satu pesan pakcik ingatlah 90% daripada pendapatan datangnya dari perniagaan. Kalau Ikram terus makan gaji maka lebih sukarlah untuk mencapai pendapatan ke tahap yang tertinggi.”
“Kenapa pakcik cakap begitu?” Soal Ikram.
“Yelah, pendapatan daripada penggajian itu bersifat tetap dan ada gaji mati sedangkan dalam perniagaan kita boleh mencapai sebesar mana pendapatan tanpa hadnya.”
“Seperkara lagi, bila kita membeli sesuatu barangan ia akan hanya pergi sehala dan tak akan datang balik tetapi sekiranya kita laburkan wang yang sama dengan bijaksana maka ia merupakan jalan dua hala. Ia akan kembali dan menyebabkan jumlah wang kita semakin hari semakin meningkat. Apapun langkah pertama kita mesti ada tabungan sebelum dapat melakukan pelaburan.”
“Ikram pernah melabur saham?”
“Pernah pakcik tapi saya dah serik. Asyik rugi je...”
“Hem... Dulu pakcik pun begitu. Tapi sebenarnya setiap kali kita jatuh kita akan dapat mempelajari sesuatu darinya. Terus terang dari kajian pakcik yang pakcik lakukan kebanyakan pelabur yang melabur tak punya ilmu serta pengalaman dalam bidang pelaburan atau dalam ertikata lain melabur dalam keadaan BUTA. Keadaan inilah yang menyebabkan kita mengalami kerugian.”
“Kalau kita ambil strategi pelaburan Warren Buffet pelabur terkaya di dunia kita akan mendapati yang beliau akan membeli saham yang mana perniagaannya kukuh dan berpotensi kemudian akan memegangnya untuk satu jangkamasa yang panjang.”
“Ingatlah duit akan dapat menarik duit sedangkan hutang akan hanya menarik hutang yang lebih banyak.” Kata Pakcik Ismail mengakhiri pertemuan mereka hari itu.
Malam itu Ikram pulang dengan niat dan tekad yang baru dengan harapan ilmu baru yang diterimanya itu boleh mengubah kehidupannya.
*Petikan dari novel yang sedang saya tulis...
No comments:
Post a Comment