Thursday, July 3, 2014

KISAH SI PENJUAL DURIAN

Assalamualaikum dan selamat menjalankan ibadah dalam bulan Ramadhan Al Mubarak bulan yang mulia ini.

Kali ini FY mengambil keputusan untuk menulis satu artikel analogi yang bertajuk kisah penjual durian. Walaupun ia kisah durian tetapi ia sebenarnya ada kena mengena juga dengan saham bagi mereka yang memahaminya.

KISAH PENJUAL DURIAN

6 bulan yang lalu.

FY bersama beberapa orang sahabat telah pergi ke sebuah dusun durian. Pada ketika itu pokok durian Musang King itu baru sahaja berbunga dan berputik. Bila dihitung terdapat 980 biji durian di atas pokok sana. Pokok durian itu dipunyai oleh seorang pakcik berbangsa melayu.

Kami bertemu dengannya lalu mengatakan yang kami berminat untuk menempah dan membeli 100 biji durian yang baru berputik di atas pokok sana. Pakcik itu mengatakan yang dia cuma sekadar boleh memberikan 60 biji durian sahaja. Harga yang dipersetujui ialah RM75.00 sebiji. Kami bersetuju. Kami ingin membeli 60 biji durian itu untuk dibahagikan kepada ramai orang. Mungkin mereka semua akan dapat merasa durian-durian tersebut seruas seorang.

3 bulan yang lalu.

Kami bertemu lagi dengan Pakcik tuan punya pokok durian dan pada ketika itu buah-buah durian telah membesar pada saiz sederhana. Kami bertanya sekali lagi samaada kami bakal mendapat 60 biji dari 980 biji durian-durian yang ada bila ia gugur nanti. Pakcik berjanji akan memberikan durian-durian tersebut bila ia gugur nanti dan katanya kalau ada orang lain meminta darinya dia akan “fight” untuk kami.

Kami pulang dengan riang lalu memberitahu pada orang-orang kampung yang kami akan membawa pulang 60 biji durian yang sedap dan enak itu untuk dikongsi bersama. Mereka juga gembira mendengar berita itu. Mereka juga bersiap-siap dengan duit untuk dikumpul bagi membayar harga durian tersebut.

15 hari yang lalu.

Durian mula gugur. Kami terus ke dusun namun ia berkunci dan kami tak dibenarkan masuk sama sekali. Dari jauh kami nampak peraih-peraih datang mengutip durian-durian yang jatuh lantas memasukkannya ke dalam bakul-bakul. Bakul itu kemudian dimasukkan ke dalam lori. Peraih itu ada yang melayu dan ada juga yang bukan melayu. Dari jauh kami nampak 580 biji durian dimasukkan ke dalam lori Melayu dan 400 biji lagi termasuklah 60 biji durian yang kami tempah ke dalam lori bukan melayu. Kami cuma dapat melihat durian-durian yang dijanjikan kepada kami dirampas orang lain bilamana ia gugur. Pakcik langsung tidak mempedulikan kami.

Kemudian datang seorang wakil pakcik ke arah kami di pintu pagar yang berkunci.

“Maaf kami tak boleh buat apa kerana secara tiba-tiba mereka datang. Mereka mengatakan mereka mempunyai hak ke atas pokok durian tersebut. Pada mulanya kami hanya ingin memberi 180 biji durian kepada mereka tetapi mereka berkeras dan mahukan 400 biji. Ini kerana terdapat orang besar yang mahukan durian-durian tersebut.” Katanya.

          “ Tapi pakcik dah janji pada kami dahulu.” Jawab FY.

          “Kalau tak dapat banyakpun jualkanlah kepada kami barang 3 biji...” Pinta FY lagi.

          “Nanti saya lihat apa yang tinggal yer...” Katanya sambil melangkah pergi.

Kami berpandangan antara satu sama lain seakan tidak percaya dengan apa yang berlaku. Mata mula berkaca mengenangkan orang-orang kampung yang berharap kami membawa balik durian-durian tersebut hari ini. Di hadapan sana para peraih semakin rakus mengutip durian-durian yang masih tinggal untuk dinaikkan ke dalam lori. Terdapat orang perseorangan yang mendapat 35 biji, 40 biji, 60 biji malah ada yang mendapat 100 biji seorang.

“Kenapa ini terjadi? Kita perlu siasat perkara ini...”

Jadi apakah kemungkinan yang terjadi di sini?

·         Pakcik menjadi tamak bila mana durian mula gugur dan ada peraih yang datang dan memberikan harga yang lebih mahal.  
·         Mungkin pakcik diugut dan dipaksa menjual durian-durian itu kepada pihak mereka.
·         Mungkin ada orang politik yang berkuasa untuk mengarahkan pakcik menjual kepadanya.
·         Atau kemungkinan-kemungkinan lain yang tidak kami ketahui.

Dalam hal ini semakin jelas yang orang kaya akan bertambah kaya. 100 biji diberikan kepada seorang sedangkan kami meminta 60 biji untuk ummah yang ramai agar semua dapat merasa.

Selepas beberapa hari menanti dan memohon belas kepada pakcik untuk menjual sebiji dua kepada kami namun tidak diendahkan kami mengambil keputusan untuk mengalah. Maknanya tiada rezeki buat kami di sini. Kami juga ada maruah dan harga diri. Takkanlah kami sanggup menurunkan diri ke tahap peminta sedekah untuk mendapatkan buah-buah durian tersebut. Kami di sini hanya untuk menagih janji.

Bukankah orang yang tidak menepati janji itu jatuh dalam golongan munafik?

Tapi inilah hakikat kehidupan. FY menulis artikel ini hanya sebagai luahan perasaan atas apa yang telah terjadi.

Untuk pengetahuan anda inilah kisah Reach Energy yang bakal disenaraikan bulan Ogos nanti. FY yang datang dengan niat untuk membantu ummah diketepikan begitu sahaja dan akhirnya si jerung-jerung juga yang semakin tamak dan semakin kaya.

Sekian dulu.

FY
Remisier
Kenanga Investment Bank Berhad
Naib Presiden
Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia


Perkhidmatan kami ;
  • Seminar Super Investor
  • Seminar SuperTech Investor
  • Seminar SuperTrader
  • Membuka akaun CDS
  • Memulakan portfolio pelaburan saham
  • Membaik pulih portfolio saham
  • Ebook - Panduan Lengkap Memohon IPO di MITI
FOLLOW FY di Twitter – twitter.com/afaizalyusup
ADD FY di Facebook - www.facebook.com/faizalyusupii
SUBSCRIBE di www.faizalyusup.net bagi mendapatkan artikel-artikel TERKINI mengenai pelaburan saham.

No comments: