Friday, November 4, 2011

Pegangan saham Bumiputera di Pasaran Saham yang masih lemah



Sejak zaman Tun Abdul Razak lagi beliau telah menyasarkan akan peningkatan ekonomi Bumiputera dalam bidang saham untuk ia mencapai pegangan 30% daripada pasaran. Visi beliau ini telah bermula di tahun 70an sejak Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan namun sehingga kini ia tidak tercapai dan setakat ini pegangan saham ini hanyalah pada sekitar 22%. Itupun kebanyakannya ialah pegangan institusi. Pegangan individu bumiputera sehingga kini amatlah rendah.

Pada tahun 1993 pasaran saham naik mendadak bersesuaian dengan peningkatan sedekad ekonomi negara ketika itu. ( Sebenarnya kalau kenaikan KDNK atau GDP negara pada 8% setahun selama 10 tahun maka ekonomi negara telah berkembang sebanyak 80% mengikut kiraan mudah). Pada masa itu ramailah yang menjadi pelabur saham, ASB memberikan pulangan dividen dan bonus yang amat tinggi sehingga melebihi 15%, kisah pelaburan saham diperkatakan oleh semua orang termasuklah orang kebanyakan, pemandu teksi dan peniaga-peniaga Cina di pasar. Di kedai kopi dan di hotel ceritanya tak lain hanyalah saham.

Pemandu teksi tidak memandu teksi tetapi meletakkan teksi di tepi jalan untuk pergi ke syarikat broker saham untuk melihat portfolio saham mereka. Melabur saham jauh lebih menguntungkan daripada seharian memandu teksi. Pekerja-pekerja dan remisier yang bekerja di syarikat saham mendapat durian runtuh. Bonus gaji selama 24 bulan menjadi perkara biasa manakala para remisier pula menjadi jutawan segera pada tahun itu.

Tahun 1996 pula, kenaikan saham-saham papan kedua menyebabkan ramai yang membuka akaun saham. Kad pengenalan orang-orang dari seluruh pelusuk kampung dipinjam bagi tujuan membuka akaun dan memohon saham IPO papan kedua ini. Mana taknya bila ia disenaraikan ia akan naik contohnya hari pertama RM8, hari kedua RM13, hari keempat RM18, hari kelima RM23 begitulah seterusnya hingga ada yang mencecah hingga RM200 sesaham iaitu RM200,000.00 untuk 1 lot 100 unit saham walhal harga IPO itu hanyalah RM4.50.

Saham syarikat Biskut Hwa Tai, saham syarikat Pembalakan NBT, saham syarikat tisu Union Paper contohnya naik sehingga melebihi RM100 ringgit sesaham. Pada masa itu cukuplah dengan mengatakan yang pihak syarikat mula melabur di China maka sahamnya pasti akan mencanak naik. Tiada saham papan kedua ini yang kurang dari RM10 harganya di pasaran tatkala itu.

KLCI naik melebihi 1300 mata dan saham papan kedua ini pula naik sehingga 600 mata. Namun zaman kegemilangan saham ini hanya tinggal kenangan yang sekali sekala diperkatakan oleh pelabur-pelabur lama yang terlibat pada ketika itu.

Kejatuhan pasaran saham disebabkan spekulasi mata wang oleh George Soros dan konconya menyebabkan semuanya musnah. Bukan hanya Malaysia malah saham-saham di Bursa Saham serantau semuanya merudum teruk. KLCI jatuh sehingga 200 mata pada masa itu. Ramai pelabur yang terbakar tangannya dan mengalami kerugian yang amat teruk. Kerajaan Tun Dr Mahathir terpaksa mengambil langkah drastik antaranya mengikat matawang RM, matawang RM tak laku di luar negara, not RM500 dan RM1000 dimansuhkan dan sebagainya bagi menyelamatkan ekonomi negara ini. Bantuan daripada IMF juga tidak diterima sebaliknya Malaysia meminjam dari negara Jepun dan negara lain. Pada masa itu ramai penganalisis yang mengatakan Malaysia akan jatuh merudum dan ekonominya akan musnah.

Namun itu tidak berlaku dan Malaysia bangkit dari kegawatan ekonomi itu dengan kadar yang baik serta secara organik dan menyeluruh.

Apapun semuanya telah terjadi ramai pelabur yang serik dan meninggalkan pasaran saham dan tak mahu mengusiknya lagi sehingga kini. Selama lebih sedekad pelabur runcit lebih-lebih lagi Bumiputera menjauhkan diri dari pasaran dan menjadi begitu negatif hingga mereka memberitahu generasi muda untuk melakukan perkara yang sama. Inilah antara sebabnya peningkatan pegangan ekuiti itu begitu kecil di kalangan bumiputera di negara ini.

KENAPA dan APAkah sebabnya pasaran saham ini naik sedemikian rupa pada masa itu?

Pertamanya ia disebabkan Sistem Bursa Malaysia. Pada masa itu ia menggunakan sistem Winscore yang diambil dari Taiwan. Sistem ini sebenarnya mempunyai banyak kelemahan. Salah satunya pada masa itu leveragenya tinggi. Ia membolehkan para pelabur membeli saham dengan collateral yang rendah. Hanya dengan meletakkan RM5,000.00 contohnya pelabur boleh membeli sehingga beratus ribu ringgit. Ia sebenarnya menyebabkan bubble dalam pasaran dan bila ia meletup ia menyebabkan pasaran merudum teruk.

Namun demikian tahukah anda sekarang sistem ini telah lama ditukar. Sekarang Bursa Malaysia menggunakan sistem BFE atau Broker Front End yang jauh lebih baik. Pada masa ini pelabur yang meletakkan RM5,000.00 contohnya hanya dapat membeli setakat 3 kali atau RM15,000.00. Maka pastinya bubble ini tidak akan terjadi. Itulah sebabnya kejatuhan saham pada sekitar tahun 2008-2009 disebabkan oleh masalah politik domestik dan Isu Sub Prime di Amerika hanya pada tahap 800 mata walaupun pada ketika itu Dow Jones jatuh sehingga 6000 mata.

Untuk pengetahuan anda pada masa itu Bursa Vietnam jatuh daripada ketinggian 1300 mata hingga ke 200 mata seakan apa yang terjadi kepada bursa negara ini di tahun 1997 dahulu. Mungkin inilah agenda Agenda Institusi Hedge Fund Barat yang memanipulasi pasaran saham untuk menyedut dana modal rakyat sesebuah negara yang lemah sistem pasaran sahamnya memandangkan ekonomi negara itu sedang memuncak naik. Ini kerana mereka jauh lebih maju dan punya modal yang jauh lebih besar.

Dewasa ini mereka menggunakan instrumen Forex pula tanpa kita sedari. Tak perlulah saya terangkan dengan panjang lebar mengenainya. Cukuplah satu ketika dahulu untuk menjalankan urusniaga Forex kita memerlukan pelaburan sebanyak RM5 juta namun semenjak pemerintahan George Bush Jr ia dibuka kepada pelabur runcit yang boleh membuat pelaburan dengan jumlah modal yang sedikit. Seluruh dunia boleh melabur Forex dan dengan cara ini mereka menyedut modal-modal pelabur ikan bilis dari seluruh dunia menggunakan kecanggihan teknologi mereka. Terus terang saya kenal ramai yang telah terbakar tangannya melalui pelaburan Forex ini.

Amerika melihat dunia dari sudut penguasaannya ke seluruh dunia baik dari segi ideologi, kewangan, pendidikan, politik dan sebagainya sedangkan kita melihat hanya dalam satu fokus yang begitu kecil hanya dalam negara ini. Kita tak punya prinsip untuk menakluki dunia di dalam diri. Mereka akan melakukan apa sahaja demi kepentingan mereka dan secara tak langsung cuba melemahkan dunia Islam. Sekali lagi tak perlulah saya menulis dengan panjang lebar mengenainya. Cukuplah dengan saranan berhati-hatilah dengan agenda jahat mereka.

Samaada anda percaya atau tidak Indonesia yang sedang rancak pasaran sahamnya sekarang juga nanti akan menerima padahnya. Satu hari nanti mereka akan menyedut dana modal rakyat Indonesia ini untuk kepentingan diri mereka. Kalau tak percaya kita tunggu dan lihat.  

Keduanya pada masa itu sistem settlement saham juga lemah. Saham yang dibeli perlu dibayar dalam masa 21 hari sebelum dikurangkan kepada 7 hari. Tak cukup dengan itu saham-saham masih menggunakan skrip yang mana saham-saham boleh dipinjam dan ditukar tangan dengan mudah. Keadaan ini menggalakkan urusniaga saham kontra yang mana membawa kepada velocity dan volum yang tinggi di pasaran.

Namun semua ini telah berubah dan diperbaiki. Akaun CDS diperkenalkan dan saham tidak lagi menggunakan skrip saham dan settlement pula hanya dalam masa 3 hari yang mana ia menyebabkan urusniaga kontra berkurangan dengan begitu ketara.

Ketiganya kenaikan IPO adalah disebabkan struktur IPO sepertimana yang pernah saya tulis dalam salah satu artikel dalam blog saya dahulu. Secara ringkasnya dahulu dalam setiap IPO lebih 60% diperuntukkan kepada pelabur runcit namun selepas ekonomi merudum pada tahun 1997 jumlahnya hanya sekitar 10 peratus sahaja. Ini menyebabkan saham-saham ini tidak naik di pasaran kerana Institusi telahpun mendapat saham-saham IPO ini jadi tak perlulah mereka membelinya daripada pelabur runcit di pasaran terbuka. Namun demikian peruntukan saham di MITI kepada pelabur runcit semenjak panghujung tahun lalu telah mula menunjukkan kepositifan kepada IPO-IPO ini juga secara tidak langsung membawa kepada peningkatan ekuiti Bumiputera di pasaran modal.

Faktor seterusnya pada masa itu ialah institusi unit saham amanah yang tumbuh bagai cendawan. Amanah Saham Selangor, Johor, Dana Johor, Amanah Saham Kedah, Kelantan, Terengganu swasta dan sebagainya yang dibenarkan membeli saham-saham papan kedua yang berisiko tinggi bagi mendapatkan keuntungan yang cepat. Namun merudumnya pasaran saham menyebabkan kebanyakan institusi pelaburan saham amanah ini merudum hingga ada yang bankrap. Kalau anda tidak percaya kajilah portfolio pegangan saham mereka dan anda akan lihat yang kebanyakan saham yang dipegang adalah saham papan kedua yang kebanyakan syarikatnya telah lama dibungkus.

Kelima pada masa itu Institusi Pelaburan seperti PNB, LTAT, EPF dan yang lainnnya masih baru. Khazanah pun belum wujud lagi maka pada masa pelabur Institusi luar negara menjual saham mereka juga panik dan turut menjual hingga harga jatuh begitu teruk.

Namun ini tak lagi berlaku kerana kebanyakan Fund Manager sekarang lebih mantap dan mereka membeli pada masa saham jatuh dan mereka menjual tatkala saham naik. Ini sebenarnya menyebabkan Foreign Fund tak berapa suka untuk melabur di negara ini. Ini kerana kalau mereka datang pelaburan mereka akan hanya menaikkan pasaran saham dan menguntungkan institusi kewangan dan pelaburan dalam negara ini. Jadi lebih baik mereka memilih melabur dalam negara yang lemah sistem pasaran sahamnya yang punya banyak loophole untuk dimanipulasikan. Oleh sebab inilah KLCI tidak jatuh begitu teruk dan bertahan pada 800 mata pada tahun 2008-2009 dahulu. Semuanya dengan bantuan institusi pelaburan dalam negara yang mempertahankannya. Lagipun dewasa ini lebih 50% daripada jumlah pegangan modal di pasaran saham adalah milik pelabur institusi tempatan.

Akhir sekali untuk artikel ini pada masa itu ramai yang tiada ilmu pelaburan bukan hanya di kalangan pelabur, malah remisier dan fund managers. Kalau tidak takkanlah mereka membeli saham-saham yang terlalu tinggi harganya jauh melebihi nilai sebenar syarikat tersebut. Membeli saham dalam keadaan buta dengan hanya mendengar rumors dan tip daripada jiran sebelah rumah contohnya.

Terus terang disini anda telah tahu saya telah lama berada dalam pasaran saham hinggakan saya boleh menerangkan akan semua ini. Untuk mendapatkan kemahiran dalam bidang saham dan menjadi pelabur yang bijak pasti akan mengambil masa dan inilah yang berlaku pada diri saya. Bergelumang dengan saham lebih 15 tahun lamanya melalui kenaikan dan kejatuhannya. Terus terang dalam hal ini ramai yang belum punya kemahiran dalam bidang ini biarpun mereka telah berada dalam bidang saham ini sekian lama.

Saranan

Bagi meningkatkan ekuiti bumiputera dalam pasaran saham ini maka pada saya apa yang penting ialah pelabur mestilah punya kemahiran pelaburan atau penerapan nilai saham dalam diri mereka dan ini boleh dibentuk dengan bantuan remisier yang bijak, berpengalaman dan berkemahiran yang boleh menjadi mentor dan memberikan tunjuk ajarnya. Belajarlah dari mereka akan teknik pelaburan ini dan kalau mereka tak tahu cara dan kaedah untuk buat duit di pasaran saham maka tinggalkanlah mereka.

Sebenarnya remisier yang bijak, berhemah dan punya kemahiran dalam pelaburan saham pasti akan dapat membantu anda meningkatkan modal dalam pasaran saham. Itu saya pasti.

Sekali lagi saya ulangi membeli saham IPO di MITI contohnya hanya seumpama mendapat ikan tetapi anda tidak mendapat joran dan ditunjukkan keadah memancing ikan. Maka di sini remisier yang bijak pasti akan dapat membantu berkongsi ilmu pengetahuan dan kemahiran mereka untuk anda demi meningkatkan kedudukan kewangan anda melalui kaedah pelaburan di pasaran saham.

Semua huraian ini menunjukkan yang ianya selamat untuk melabur dalam pasaran saham kerana begitu banyak pendekatan dan penambahbaikan telah dibuat selama hari ini dan banyak lagi yang akan dilakukan demi untuk menjadikan pelaburan saham satu kaedah terbaik meningkatkan status kewangan anda. Apa yang penting ialah anda mempunyai ilmu mengenainya.

Sekiranya anda ingin belajar kaedah melabur anda boleh menghubungi saya Faizal Yusup, mengikuti blog ini atau menyertai seminar yang saya jalankan dari masa ke semasa. Saya sedia berkhidmat untuk anda demi meningkatkan ekonomi ummah. InsyaAllah.

Setakat ini dahulu FY mengundur diri.

Faizal Yusup
Exco Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia.

1 comment:

Anonymous said...

TK atas kongsi pengalamn dan pandangn. Ianya sgt bagus...