Sunday, November 10, 2013

Apa itu Saham Pendapatan atau Income Stock dan Apa itu Growth Stocks atau Saham Pertumbuhan

STRATEGI PELABURAN SAHAM – SAHAM PERTUMBUHAN ATAU SAHAM PENDAPATAN

Bagi pelabur-pelabur saham, soalan lazim yang selalu bermain di fikiran ialah “Patutkah saya melabur untuk pertumbuhan atau pendapatan?” Sebelum membuat keputusan, seorang pelabur perlu memahami perbezaan antara saham pendapatan dan saham pertumbuhan.

Apa sebenarnya saham pendapatan (income stock)?

Saham pendapatan ialah saham yang membayar dividen. Tujuan memiliki saham pendapatan ialah untuk mendapatkan dividen tinggi secara konsisten, sebagai sumber pulangan semasa dan bukannya untuk mengharapkan naik nilai harga saham anda. Harga saham pendapatan lazimnya kurang meruap (volatile) berbanding saham-saham lain yang didagangkan di pasaran saham. Oleh itu, apabila pasaran menurun, harga saham-saham pendapatan akan mengalami penurunan harga yang perlahan kerana para pelabur akan mengekalkan pegangan saham mereka selagi syarikat membayar dividen.

Saham-saham seperti ini kurang terjejas oleh kitaran perniagaan, di mana produk dan perkhidmatan yang ditawarkan syarikat masih tetap diperlukan pengguna walaupun keadaan ekonomi kurang baik. Ini termasuklah kemudahan awam, makanan dan keperluan harian yang lain. Ini bererti, saham syarikat yang menawarkan produk dan perkhidmatan sebegini berisiko rendah.

Walau bagaimanapun, anda perlu memantau kadar faedah dan inflasi apabila melabur dalam saham-saham ini disebabkan ianya sensitif kepada perubahan kadar tersebut. Apabila kadar faedah naik dan jika kadar hasil dividen sesuatu saham itu kekal, ataupun turun ke tahap yang lebih rendah berbanding kadar faedah yang ditawarkan instrumen pelaburan yang lain (seperti simpanan tetap ataupun bon korporat), harga saham ini mungkin turun. Selain itu, sekiranya kadar inflasi naik dan kadar hasil dividen sesuatu saham itu dikekalkan setiap tahun, hakikatnya, dividen sebenar yang diperolehi  adalah lebih rendah.

Bagaimana pula dengan saham pertumbuhan (Growth stock)?

Berbeza dengan saham pendapatan, saham pertumbuhan membayar dividen yang minimum ataupun tidak membayar dividen langsung. Sebaliknya, saham pertumbuhan menawarkan potensi pertumbuhan yang tinggi. Ia biasanya mempunyai kadar pertumbuhan yang lebih tinggi berbanding kadar pertumbuhan purata (lazimnya dua angka), untuk tiga tahun berturut-turut . Kebanyakan syarikat pertumbuhan yang berpotensi terlibat dalam industri yang sedang berkembang pesat, seperti syarikat-syarikat Teknologi Maklumat dan Teknologi Bio. Syarikat-syarikat ini selalunya mendahului pasaran ataupun mempunyai potensi untuk mendahului pasaran. Antara ciri-ciri utama syarikat-syarikat ini ialah kos penyelidikan dan pembangunan mereka yang tinggi berbanding pendapatan mereka. Selain itu, syarikat-syarikat yang  kukuh dalam bidang  pasaran tertentu ataupun syarikat-syarikat yang mempunyai halangan kemasukan yang tinggi juga tergolong dalam kategori ini.

Walau bagaimanapun, melabur dalam saham pertumbuhan mempunyai risiko tersendiri. Oleh kerana potensi pertumbuhan ialah sesuatu yang belum terjadi dan persekitaran perniagaan sentiasa berubah-ubah, syarikat-syarikat ini juga menanggung risiko yang lebih tinggi apabila produk dan perkhidmatan mereka gagal mengikuti perkembangan semasa dalam pasaran mereka.

Jadi, mana satu yang patut dipilih?

Sekarang, anda sudah mempunyai pemahaman asas mengenai saham pendapatan dan saham pertumbuhan dan apakah perbezaaan antara keduanya, persoalaannya mana satukah saham yang perlu dipilih? Bagi menentukan saham mana satu yang sesuai, anda perlu menilai kedudukan dan menetapkan matlamat kewangan anda terlebih dahulu.

Secara amnya, sekiranya anda tergolong dalam kategori berikut, saham pendapatan lebih sesuai untuk anda kerana risikonya lebih rendah dan lebih mudah dijangka:

·         anda inginkan pendapatan yang tetap daripada pasaran saham untuk menampung perbelanjaan anda; atau
·         anda hampir bersara dan bergantung kepada pendapatan daripada pasaran saham untuk mengekalkan taraf kehidupan anda; atau
·         anda baru sahaja hendak mula melabur dalam pasaran saham.

Manakala, saham pertumbuhan sewajarnya menjadi pilihan anda jika:
·         anda mempunyai sejumlah wang dan ingin melabur untuk jangkamasa panjang bagi memperolehi kenaikan modal.

Pastikan anda mengenali saham syarikat yang dilaburkan

Membeli saham sesebuah syarikat secara tidak langsung bermakna anda memiliki sebahagian daripada perniagaan syarikat tersebut. Sekiranya anda yakin ia berpotensi tinggi dan memiliki asas/fundamental yang kukuh, maka percaya kata hati dan teruskan niat untuk melabur dalam syarikat tersebut.

Pendapat berikut mungkin tidak sama dengan pandangan umum, tetapi bukan kesemua syarikat dalam industri terbaru dan terkini merupakan pilihan pelaburan yang baik. Jangan melabur dalam saham syarikat Teknologi Bio semata-mata kerana orang ramai mengatakan ia bagus dan mereka juga melabur dalam syarikat itu. Sentiasa ingat bahawa anda perlu memahami perniagaan syarikat yang anda pilih dan bagaimana syarikat tersebut mengaut keuntungannya . Ini kerana, saham pertumbuhan biasanya berisiko tinggi disebabkan ketidakpastian dalam potensi perniagaan syarikat. Pastikan anda membuat kajian terlebih dahulu agar dapat mengurangkan kemungkinan anda kehilangan wang.

Tujuan utama melabur ialah untuk membuat duit, tidak kira sama ada ia membayar pendapatan dividen ataupun untung modal. Walau bagaimanapun, anda seharusnya membina portfolio berdasarkan keperluan peribadi – iaitu sama ada anda perlukan wang untuk jangka masa pendek atau anda hendak mengumpul kekayaan dalam jangka masa panjang. Anda juga boleh mencuba untuk menggabungkan kedua-dua jenis saham dalam portfolio pelaburan dan menilai keuntungannya secara keseluruhan.

CONTOH

Aspek saham pertumbuhan mahupun saham pendapatan ini juga sebenarnya penting dalam menentukan strategi pelaburan kita. Bagi menerangkan ianya lebih lanjut dan memudahkan pemahaman biar saya bagi contoh.

Ramai yang mengeluh bilamana Saham Air Asia X disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia tak lama dahulu. Harga tawaran IPOnya ialah RM1.25 dan ia dibuka pada harga yang sama dan tak lama kemudian ia menurun. Sebenarnya ini adalah contoh saham pertumbuhan. Para pelabur membelinya atas keyakinan kepada potensi akan datang syarikat ini.

Mari kita lihat kepada kes Air Asia terlebih dahulu. Tan Sri Tony Fernandes membeli Air Asia pada harga RM1 dengan hutang sebanyak RM20 juta dan menukarkan syarikat ini kepada syarikat bernilai RM10 billion dalam jangkamasa tak sampai 10 tahun. Air Asia juga hanya memberikan dividennya yang pertama setelah 7 tahun beroperasi. Namun demikian harga sahamnya naik setinggi 5 kali ganda dalam tempoh itu. Ia berada pada paras terendah RM0.765 dan naik ke tahap tertinggi RM4.20 dalam tempoh itu.  



Inilah contoh saham pertumbuhan. Saham yang kita beli kerana kita percaya yang syarikat itu berpotensi untuk membesar menggunakan modal yang para pelabur amanahkan kepada mereka.

Jadi FY percaya saham AAX ini juga bakal menunjukkan prestasi yang sama kelak. Satu analogi yang ingin saya kongsikan kepada anda dalam hal ini.

Kalau diberi pilihan antara seorang budak kecil dan seguni duit, dewasa ini mereka akan memilih untuk mengambil anak kecil tersebut.

Sebabnya?

Memandangkan duit di cop dengan banyaknya di seluruh dunia dewasa ini baik di Amerika, Eropah mahupun di Jepun maka nilainya semakin lama semakin menurun. Ini ditambah pula dengan kesan inflasi kenaikan harga barang yang dihadapi setiap tahun jadi pada mereka adalah lebih baik untuk memelihara seorang anak yang mana anak ini mungkin akan membesar dan bakal berbakti kepada orang tuanya. Maksudnya adalah lebih baik membeli saham AAX ini dan menanti syarikat ini membesar dan satu hari nanti memberikan pulangan yang besar besar kepada paleburnya sepertimana yang ditunjukkan oleh Air Asia tak lama dahulu.

Masalahnya bagi orang kita yang poketnya tak cukup dalam atau dalam ertikata lain modalnya terhad maka mereka tak sanggup untuk menunggu selama itu bagi mendapatkan pulangan kepada pelaburan mereka. Jadi dalam hal ini FY sarankan jangan simpan dan laburkan duit anda dalam saham pertumbuhan begini sebaliknya letakkan ia dalam saham pendapatan.

Contoh saham pendapatan ialah saham Gas Malaysia. Saham ini telahpun kuat sebelum ia disenaraikan. Ia merupakan syarikat yang menguntungkan dan memberikan dividen walaupun  sebelum disenaraikan. Bila ia disenaraikan ia dapat mengembangkan syarikat dan terus-terusan dapat memberikan dividen yang baik kepada pelaburnya. Jadi melabur dalam saham sebegini adalah lebih baik kalau dibandingkan dengan saham AAX dalam contoh tadi.

 

Di sini anda boleh lihat, keuntungan yang dijana menyimpan dan membeli saham ini sejak tak sampai 2 tahun yang lalu. Harga tawaran IPOnya ialah RM2.20 dan sekarang ia telah naik sekali ganda lantas membawa keuntungan sebanyak lebih RM462,000 kepada pelanggan saya ini. Ini belum lagi dicampur dengan dividen yang diterima dari masa ke semasa.

Saya harap anda faham dengan penjelasan saya ini. Untuk tahu lebih lanjut lagi datanglah seminar saham yang saya anjurkan dari masa ke semasa. Akan datang ini pada 24 November nanti. Hubungi Pn Azila Ismail di talian 012 2511 755 untuk mendaftar atau layari www.seminarsaham.com.my untuk keterangan lanjut.

PENURUNAN KOS SAHAM BERDASARKAN DIVIDEN YANG DIBERIKAN.

Dalam kes pelaburan dalam saham Gas Malaysia ini saham tersebut disenaraikan pada bulan Mac tahun 2012 pada harga RM2.20. Harganya sekarang ialah RM4.03 iaitu keuntungan sebanyak RM1.83 atau pulangan sebanyak 83.18% dalam masa tak sampaui 2 tahun. Dalam hal ini adakah ini tepat?

Jawapannya TIDAK. Ini kerana sehingga hari ini saham Gas Malaysia ini telah memberikan dividen sebanyak 5 sen pada bulan Mei 2012, 7.69 sen pada bulan Ogos 2012 dan 6 sen lagi pada bulan Ogos 2013 menjadikan jumlahnya 18.69 sen. 18.69 sen adalah bersamaan dengan RM28,035.00 dipulangkan sebagai dividen dalam kes di atas ini. Kalau 18.69 sen ini ditolak dari harga IPO RM2.20 pula maka kos modal saham anda ialah RM2.0131.

Kos pelaburan saham anda menjadi semakin murah sedangkan harga saham pula semakin naik. Apa yang terjadi dalam jangkamasa panjang kos saham anda akan menjadi 0! Dalam ertikata lain anda akan mendapat saham secara PERCUMA! Ini kerana dividen dari masa ke semasa yang anda terima akan lambat laun membayar modal yang anda keluarkan untuk membeli saham tersebut.

Inilah kelebihan melabur jangkamasa panjang dalam saham-saham jenis Saham Pendapatan atau Income Stocks ini.

Petikan dari buku Ebook Super Investor yang sedang FY tulis... Beli jangan tak beli... bila ia diterbitkan nanti. Pasti berbaloi!

Sekian dulu...

FY

No comments: